Assalamualaikum ustaz.
saya nak tanya. sy bercinta dengan seorang lelaki . tapi malangnya sikap yang ditunjukkan bukan macam nak jadikan saya isteri tapi nak enjoy..ajak saya kuar sana sini, sy sgt tak suka.so sy dah putuskan hubungan.
RESPON USTAZ : Tindakan yang betul dan semoga mendapat kebaikan daripadanya.
skarang sy ngan kawan saya yang selalu tegur pakaian saya supaya tutup aurat dan adab-adab saya sebagai perempuan. dia juga dah dapat persetujuan keluarganya untuk memperisterikan saya. saya nak tanya ustaz, kawan saya kata couple ni haram, tapi bagi saya kita kene pandai jaga adab dan agama kita. stakat ni sy memang jaga batas-batas pergaulan. pernah juga saya keluar berdua makan kat kedai. ada apa-apa nasihat tak untuk saya? ada tak bercinta cara islam yang sesuai dengan zaman sekarang?
..terima kasih ustaz..assalamualaikum.
RESPON USTAZ :
Waalaikumussalam
Bismillahirrahmanirrahim,
Ustaz mengerti, ramai orang merasa tidak adil jika langsung tiada jalan bercinta sebelum kahwin.
“Takkan tak boleh langsung?”
“Boleh kot, asalkan pandai jaga diri?”
Betulkah sangkaan itu?
Kenapa ramai berfikirkan begitu? Kerana disebabkan suasana kebejatan moral yang meruncing dan budaya pergaulan bebas yang telah diamalkan secara meluas. Akhirnya ramai pemuda dan pemudi merasakan ‘tidak salah bercinta’ asalkan pandai jaga diri. Ini adalah kenyataan yang dibuat tanpa ilmu yang sahih.
Saudari, rasanya ustaz sudah jelaskan dalam kebanyakan entry yang terkandung di dalam web ustazcinta ini bahawa TIADA jalan bercinta sebelum kahwin. Mungkin saudari tidak membacanya atau kurang bersetuju dengan pandangan ustaz. Itu hak saudari, yang penting...saudari memilih jalan yang diredhai Allah SWT.
EMOSI SEMASA BERCINTA
Ustaz mengakui bahawa ada segelintir couple yang bagus. Mereka dapat menjaga batasan pergaulan dan mereka sentiasa melakukan perkara yang baik. Malah ada couple yang saling menasihati dalam perkara agama dan mendorong ke jalan positif. Biasanya couple sebegini mereka jarang berjumpa atau keluar bersama. Namun, hanya SEGELINTIR sahaja.
Jangan main-main dengan emosi orang bercinta. Macam-macam boleh berlaku khususnya kepada yang bercouple. MAJORITI yang bercouple akan cenderung kepada sentuhan, belaian dan perilaku seksual. Nak keluar makan, borak2 dan spend time together.
Cuba perhatikan, kebanyakan couple yang bercinta. Awal-awal saja nampak ok. Awal-awal bercinta mereka dapat mengawal gelora jiwa. Maklum saja, baru bercinta...semua ok. Tetapi, apabila sudah semakin rapat. Apabila sudah makin intim. Syaitan akan merasuk dan mencucuk jarum. Syaitan akan cuba memberi tekanan dan desakan nafsu...ketika itu tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku.
Tanyalah semua couple2 yang pernah berzina, adakah mereka dahulunya mahu berzina? Cuba tanya kepada orang yang bercinta dan terlanjur, adakah mereka sengaja memilih jalan itu? Pasti sebahagian mereka TIDAK MAHU jadi begitu. Tetapi, apakan daya. Kerana terjerat dengan tipu daya syaitan...akhirnya mereka terbuat. Dan menyesal! Bahkan ada juga couple yang berakhir dengan pembunuhan. Akibat dengki dan dendam. Saudari pasti membaca kes simbahan asid, kes tikam dan bunuh. Semua ini berpunca dari couple tanpa perkahwinan yang sah.
KITA ATAU ALLAH YANG LEBIH TAHU?
Disebabkan itu ALLAH yang MAHA MENGETAHUI menyebut “JANGAN DEKATI ZINA”. Ayatnya jelas melarang kita agar jangan mendekati. Berbeza jika Allah sebut JANGAN BERZINA. Kalau dekatpun sudah tidak dibenarkan, apatah lagi jika kita melakukan zina itu sendiri. Siapakah yang lebih bijak dalam hal ini? Allah atau manusia?
Adakah kita boleh berkata “Ya Allah, aku tahu diri aku sendiri. Aku rasa tak salah bercinta asalkan pandai jaga diri” Adakah itu suatu ayat yang wajar kita ucapkan kepada pencipta kita? Of course, it is absurd! Ini suatu yang salah sebenarnya. Patuhlah kepada Allah, kerana dia maha mengetahui apa yang kita tidak ketahui.
Nabi SAW menyebut “Tiada jalan bagi dua jiwa yang bercinta melainkan ditemukan menerusi perkahwinan” Hadis ini jelas, bahawa tiada percintaan tanpa pernikahan.
Nabi SAW menyebut “Apabila anak dara sudah menemui calon pasangannya (maka nikahkan mereka segera)” hadis ini mendorong agar segera menikah, agar percintaan berlaku selepas nikah. Malah dilarang jika bertunang lama-lama kerana banyak fitnahnya.
WANITA MANGSA KEADAAN
Sebenarnya orang perempuan perlu dilindungi. Dan syariat Allah SWT cuba melindungi wanita agar mereka tidak menjadi mangsa kezaliman. Tengoklah kes wanita dilarikan orang dan dijadikan hamba seks, semuanya bermula dengan umpan percintaan. Kes wanita termakan pil kuda dan sebagainya, juga bermula dengan berkawan.
Terlalu ramai lelaki yang pandai berlakon dan mahu mengambil kesempatan di luar. Oleh kerana itu, syariat islam membantu untuk melindungi wanita daripada banyak masalah yang diluar pemikiran mereka.
Semoga kita sentiasa bersangka baik dengan Allah dan patuh kepada syariatnya. Barulah kita menjadi manusia yang bahagia dan sejahtera.
No comments:
Post a Comment