PENGENALAN
Hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah masalah kesihatan masyarakat di negara maju serta negara yang membangun termasuklah Malaysia . Kebanyakan kes Hipertensi di Malaysia tidak dilaporkan oleh pihak yang berkenaan. Lebih kurang 30% kes tekanan darah tinggi tidak dapat dikesan di seluruh negara. Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan 1997 menunjukkan kadar berlakunya tekanan darah tinggi adalah 24% dan dijangka akan meningkat kepada 40 hingga 45% dalam masa 20 tahun yang akan datang.
Mengikut Kamus Jururawat edisi terkini, Hipertensi atau tekanan darah tinggi boleh ditakrifkan sebagai suatu keadaan di mana berlakunya peningkatan tekanan darah pada arterial melebihi julat normal yang dijangka daripada kumpulan umur tertentu. Hal ini kerana jantung manusia bekerja seperti sebuah pam yang mengecut dan rehat. Hipertensi atau tekanan darah tinggi menggambarkan keadaan di mana tekanan yang dihasilkan oleh darah ke atas dinding arteri semasa jantung mengepam darah.
Apabila tekanan darah diukur, terdapat dua bacaan yang diperolehi. Tekanan yang lebih tinggi iaitu tekanan sistolik adalah tekanan darah pada arteri semasa jantung sedang mengepam darah. Manakala, tekanan yang lebih rendah dipanggil tekanan diastolik merupakan tekanan darah pada arteri semasa otot jantung sedang berehat di antara dua denyutan. Apabila tekanan darah yang tinggi dikesan, ia kebiasaannya memerlukan rawatan sepanjang hayat. Sebagai contohnya, seorang pesakit mempunyai bacaan tekanan darah 140/75. Tekanan sistolik dalam contoh ini adalah 140. Tekanan diastolik pula adalah dalam contoh ini 75.
Untuk pengetahuan semua, bacaan tekanan darah normal bagi orang dewasa adalah di antara120 dan 80. Bagi kes tekanan darah yang abnormal bagi kes Pre-hipertensi adalah 120-139 /80 – 89, Hipertensi adalah 140 dan ke atas /90 dan ke atas dan Hipertensi sistolik adalah 160 dan keatas/bawah 90. Secara umumnya, tekanan darah tinggi dapat merosakkan bahagian arteri yang kecil, kemungkinan dapat menyebabkan pembekuan darah. Sebanyak 90 hingga 95% Hipertensi tidak diketahui penyebabnya secara tepat dan keadaan tersebut dikenali sebagai Hipertensi Essential. Selebihnya, sekitar 5 hingga 10% diketahui penyebabnya yang disebut juga Hipertensi Sekunder di mana ia disebabkan oleh penyakit Parenkima ginjal, pembuluh darah ginjal akibat pengambilan ubat, perubahan pada sistem endokrin dan lain-lain lagi.
Bagi kes Hipertensi Sistolik Terisolasi, bacaan tekanan sistolik boleh mencapai sehingga 140 mmHg atau lebih tetapi, bacaan tekanan diastolik pula adalah kurang dari 90 mmHg. Ini menunjukkan tekanan diastolik masih dalam julat yang normal. Penyakit Hipertensi ini sering berlaku di kalangan warga emas. Sejajar dengan pertambahan usia seseorang, individu tersebut akan mengalami kenaikan tekanan darah, peningkatan tekanan sistolik pada usia 80 tahun serta nilai tekanan diastolik akan terus meningkat sehingga berusia di antara 55 hingga 60 tahun. Kemudian, ia berkurang secara perlahan-lahan atau mungkin akan menurun dengan drastiknya.
Selain itu, bagi kes Hipertensi Malignan , ia merupakan penyakit Hipertensi yang sangat parah dan tidak dapat diubati.Ia boleh mengakibatkan kematian dalam waktu 3 hingga 6 bulan. Hipertensi jenis ini adalah sangat jarang terjadi di Malaysia dan nisbah kematiannya adalah satu dari setiap 200 penghidap Hipertensi jenis ini. Bacaan tekanan darah seseorang individu adalah bervariasi dan berlainan seperti bayi dan kanak-kanak mempunyai bacaan tekanan darah yang jauh lebih rendah daripada orang dewasa. Hal ini kerana ia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh aktiviti fizikal seseorang di mana bacaan tersebut akan menjadi lebih tinggi ketika melakukan aktiviti-aktiviti seperti bersukan dan akan menjadi lebih rendah bacaannya ketika kita beristirehat. Di samping itu juga, nilai tekanan darah manusia dipengaruhi oleh keadaan persekitaran di mana pada waktu pagi hari, bacaan tekanan darah adalah tinggi manakala, pada waktu malam, nilai tekanan darah adalah paling rendah.
Jadual di bawah menunjukkan klasifikasi bacaan tekanan darah bagi golongan dewasa mengikut piawaian bacaan yang dikeluarkan dan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga World Health Organization (WHO). Bacaan tekanan darah ini telah digunapakai oleh semua hospital dan klinik-klinik di seluruh dunia amnya dan di seluruh Malaysia khususnya.
Kategori
|
Tekanan Darah Sistolik
|
Tekanan Darah Diastolik
|
Dibawah 130 mmHg
|
Dibawah 85 mmHg
| |
Normal tinggi
|
130-139 mmHg
|
85-89 mmHg
|
Stadium 1
(Hipertensi ringan) |
140-159 mmHg
|
90-99 mmHg
|
Stadium 2
(Hipertensi sedang) |
160-179 mmHg
|
100-109 mmHg
|
Stadium 3
(Hipertensi berat) |
180-209 mmHg
|
110-119 mmHg
|
Stadium 4
(Hipertensi maligna) |
210 mmHg atau lebih
|
120 mmHg atau lebih
|
(Sumber: Joint National Committee on Prevention, Detection, Evaluation, and Treatment of High Blood Pressure)
ETIOLOGI
Penyakit Hipertensi atau tekanan darah tinggi mempunyai penyebab yang berbeza mengikut klasifikasinya. Seperti yang kita tahu, Hipertensi terbahagi kepada dua jenis iaitu Hipertensi Primer dan juga Hipertensi Sekunder. Bagi kes Hipertensi Primer , ia terjadi dengan sendirinya tanpa disebabkan oleh penyakit atau masalah kesihatan yang lain. Manakala, bagi kes Hipertensi Sekunder pula, ia disebabkan oleh kesan penyakit ataupun kesan daripada masalah kesihatan yang dialami oleh seseorang individu. Menurut kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia , sebanyak 85% kes Hipertensi Primer adalah tidak diketahui puncanya. Namun, masih ada faktor-faktor pencetus yang boleh menyebabkan penyakit ini berlaku. Antaranya ialah faktor genetik, jantina, umur, kegemukan (obesiti), pengambilan minuman keras seperti alkohol, menghisap rokok dan juga tekanan perasaan yang dialami oleh seseorang individu. Bagi faktor genetik, ia bukanlah disebabkan oleh keabnormalan kromosom, tetapi ia adalah disebabkan oleh gaya pemakanan dan mempunyai cara hidup yang sama. Selain itu juga, penyakit Hipertensi kebanyakkannya dihidapi oleh kaum lelaki berbanding kaum wanita kerana mereka mempunyai banyak tanggungjawab serta terkenal dengan amalan merokok yang tidak terbatas. Apabila seseorang itu merokok, salur darahnya akan mengecut (konstrik) dan ini akan menyebabkan tekanan pada salur darah berkenaan semakin meningkat.
Bagi Hipertensi jenis Sekunder pula, kajian telah menunjukkan bahawa hanya 15% sahaja yang diketahui penyebabnya. Antaranya ialah komplikasi daripada penyakit renal seperti Chronic Renal Failure, Acute Glomurular Nefritis, Pilonefritis, Hemangiopericytoma dan juga Stenosis Arteri Renal. Selain itu, faktor lain yang boleh menyumbang kepada kes Hipertensi Sekunder ialah gangguan endokrin seperti contohnya Pheochromocytoma, Cushing Syndrome, Akromegali dan Hyperaldosteronisme. Pengambilan ubat-ubatan juga boleh menyebabkan tekanan darah meningkat. Sebagai contoh, ubat Contraceptives Drugs yang mengandungi hormon estrogen, steroid jenis anabolik, kortikosteroid, NSAID’s (Non Steroid Anti Inflammatory Drugs) dan juga alkohol.
TANDA DAN GEJALA
Hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan penyakit ‘silent killer” yang tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda-tanda yang jelas sebelum adanya perubahan pada pembuluh darah di jantung, otak atau ginjal. Oleh sebab itu, kebanyakkan masyarakat Malaysia khususnya tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit Hipertensi. Kadang-kadang, pesakit mungkin akan mengalami tanda-tanda yang tidak spesifik seperti kerap kencing, sukar untuk bernafas, pening atau sakit kepala serta rasa kebas di kawasan dan jantung sering berdebar-debar pembengkakkan pada pergelangan kaki atau jari, muka merah dan panas, kemurungan, tercungap-cungap, bunyi berdengung, pandangan menjadi kabur serta pendarahan di hidung yang berulang.
PENYIASATAN
Individu yang menghidap penyakit Hipertensi ini mempunyai suatu kekakuan yang akan meningkat atau resistensi pada arteri-arteri sekeliling di seluruh jaringan-jaringan tubuh. Peningkatan resistensi ini menyebabkan otot jantung bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah melalui pembuluh-pembuluh darah ini. Peningkatan beban kerja ini dapat membuatkan jantung menjadi tegang yang akan menjurus kepada pembesaran otot jantung. Pembesaran jantung dapat dievaluasi dengan pemeriksaan X-ray dada, Elektrokardiogram dan paling tepat dengan menjalankan pemeriksaan menggunakan Echocardiografi iaitu suatu pemeriksaan jantung dengan ultrasound. Echocardiography juga berguna dalam menentukan ketebalan (pembesaran) dari jantung bahagian kiri (sisi pengepam utama).
Pemeriksaan mata pesakit kronik Hipertensi perlu dijalankan untuk mengesan samada berlakunya penyempitan arteri-arteri kecil, pendarahan kecil (kebocoran darah) pada retina, dan pembengkakkan pada saraf mata. Terdapat juga beberapa prosedur dan kajian lain yang boleh dilakukan bagi mengesahkan seseorang itu mendapat penyakit Hipertensi. Antara kajian yang boleh dilakukan ialah penyiasatan urin melalui ujian Full Examination Microscopic Examination (FEME). Ujian ini dijalankan adalah untuk mengesan protein dan glukosa dalam urin. Selain itu juga, ujian lain yang boleh dilakukan ialah ujian darah serum kolestrol. Ujian ini dilakukan untuk mengesan kadar kolestrol dalam darah jika ada berlakunya peningkatan.
Blood Urine Sedimentation Electrolyte (BUSE) turut dijalankan untuk mengesan fungsi ginjal dan juga melihat nilai keseimbangan elektrolit dalam badan. Penyiasatan terhadap ginjal juga boleh dilakukan bagi menilai tahap kesihatan ginjal. Antara ujian yang boleh dilakukan untuk menilai tahap kesihatan ginjal ialah X-ray di bahagian ginjal dan juga serum creatinine.
RAWATAN
Antara ubat-ubatan yang boleh diberikan kepada penghidap Hipertensi atau darah tinggi termasuklah ubat Diuretic Thiazide. Pada kebiasaannya,ubat ini merupakan ubat pertama yang akan diberikan kepada pesakit Hipertensi. Ubat ini juga turut membantu ginjal membuang garam dan air serta mengurangkan isipadu cecair di seluruh tubuh sehingga menurunkan nilai tekanan darah. Ubat Diuretic Thiazide juga menyebabkan terjadinya pelebaran pembuluh darah dan turut mengakibatkan hilangnya kalium melalui urin. Akibat kehilangan kalium dalam badan, individu tersebut akan diberikan ubat penahan kalium bertujuan untuk menambahkan kalium dalam tubuh badan. Diuretik sangat efektif pada orang yang berkulit hitam, lanjut usia, kegemukan (obesity) serta penghidap sakit jantung atau penyakit ginjal.
Ubat yang kedua pula untuk penghidap Hipertensi ialah ubat Penghambat adrenergik merupakan sekelompok ubat yang terdiri dari alfa-blocker, beta-blocker dan alfa-beta-blocker labetalol, yang menghambat efek sistem saraf simpatetik. Sistem saraf simpatetik adalah sistem saraf yang akan memberikan respon dengan segera terhadap stres dengan cara meningkatkan tekanan darah. Yang paling sering digunakan adalah ubat Beta-blocker yang efektif diberikan kepada penghidap Hipertensi yang masih muda, individu yang pernah mengalami serangan jantung, denyutan jantung yang cepat, angina pectoris, sakit kepala serta migraine.
Ubat Hipertensi yang seterusnya adalah ubat Angiotensin Converting Enzyme Inhibitor (ACE-inhibitor) di mana ia akan menyebabkan penurunan tekanan darah dengan cara melebarkan salur arteri. Ubat ini efektif diberikan kepada orang yang berkulit putih, usia muda serta penghidap sakit jantung. Angiotensin-II-bloker pula merupakan ubat Hipertensi yang juga akan menyebabkan penurunan tekanan darah dengan suatu mekanisme yang hampir sama dengan ACE-inhibitor.
Ubat Antagonis kalsium juga turut diberikan kepada pesakit Hipertensi dan tindakan ubat tersebut adalah ia akan melebarkan pembuluh darah dengan mekanisme yang berlainan. Ubat Nifedipine pula merupakan kalsium antagonis dengan tindakannya yang sangat cepat dan diberikan secara per-oral (ditelan), tetapi jika tidak dikawal dos pemberiannya boleh menyebabkan penyakit Hipotensi.
KOMPLIKASI
Hipertensi merupakan penyakit senyap yang boleh mengakibatkan banyak komplikasi terhadap sistem tubuh badan manusia dan juga boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera. Secara umumnya, penyakit Hipertensi ini merupakan suatu keadaan tanpa gejala dimana tekanan yang abnormal tinggi di dalam arteri menyebabkan meningkatnya risiko terhadap stroke, aneurism, kegagalan jantung, serangan jantung dan kerosakan ginjal. Bagi penghidap Hipertensi yang kronik, ia boleh mengakibatkan pembesaran jantung, kegagalan ginjal, kerosakan otak atau saraf serta perubahan-perubahan dalam retina pada belakang mata. Jika tidak dirawat dengan segera, penyakit ini boleh menyebabkan kematian.
PENGURUSAN
Pengurusan kes Hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah sangat penting dalam usaha untuk membantu penghidap Hipertensi untuk pulih atau sembuh. Di hospital mahupun di klinik-klinik kesihatan di seluruh Malaysia telah mempraktikkan ‘Standard Operating Procedures’ bagi kes Hipertensi sejajar dengan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Antara ‘Standard Operating Procedures’ bagi kes Hipertensi ialah pertama, proses pendaftaran pesakit Hipertensi di mana perawat perlu mengambil semua maklumat tentang diri pesakit termasuklah nama penuh pesakit, nombor kad pengenalan, umur, jantina,bangsa dan pekerjaan. Proses yang kedua ialah pengambilan sejarah pesakit Hipertensi di mana perawat perlu mengambil sejarah pesakit termasuklah sejarah perubatan dan pembedahan, sejarah ubat-ubatan, sejarah sosial pesakit seperti merokok dan pengambilan minuman keras, sejarah keluarga samada ada ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit Hipertensi dan juga simptom-simptom yang ditunjukkan oleh pesakit Hipertensi.
Proses yang ketiga ialah pemeriksaan fizikal ke atas pesakit Hipertensi di mana tujuannya ialah untuk menilai keadaan pesakit secara menyeluruh, mengenalpasti faktor risiko dan untuk menilai TOD (Target Organ Damage) atau komplikasi. Pemeriksaan fizikal juga penting kepada pesakit supaya pesakit Hipertensi berada dalam keadaan selesa. Perawat juga perlu menilai tanda-tanda vital pesakit setiap kali pesakit datang menerima rawatan di klinik seperti merekodkan bacaan tekanan darah, mengambil bacaan nadi, respiratori pesakit, pengambilan berat badan dan ketinggian pesakit dengan menentukan Body Mass Index (BMI) pesakit dalam keadaan normal.
Jika individu disahkan menghidap Hipertensi, sebagai perawat, kita perlu mengawal hipertensi pesakit berkenaan dengan memberikan ubat-ubatan yang betul dan memberikan pendidikan kesihatan berkaitan cara untuk mengawal stress secara efektif serta penjagaan pemakanan yang seimbang seperti mengurangkan penggunaan garam serta kolesterol dalam makanan untuk mengawal Hipertensi.
Jika pesakit disahkan menghidap Hipertensi yang teruk, pesakit tersebut perlulah dirujuk kepada doktor di hospital yang berdekatan. Di hospital, pesakit akan berehat dengan sepenuhnya di katil di dalam wad. Pesakit Hipertensi akan dipasangkan ‘intravena line’. Manakala, tanda-tanda vital pesakit akan dikawal oleh perawat di mana bacaan tekanan darah akan diambil setiap satu jam setengah setiap hari.Jika bacaan tekanan darah tinggi atau kehadiran simptom-simptom Hipertensi, sila rujuk kepada doktor untuk rawatan lanjut. Selepas itu, pemeriksaan lanjut akan dilakukan ke atas pesakit Hipertensi dengan mengawal Hipertensi selama 3 bulan di dalam wad dan kemudian, pemeriksaan lanjut oleh doktor sekurang-kurangnya setahun sekali.
PENDIDIKAN KESIHATAN
Penyakit Hipertensi atau tekanan darah tinggi anda boleh dipulihkan secara rawatan tanpa ubat-ubatan. Gaya hidup yang sihat memainkan peranan yang sangat penting dalam mencegah penyakit ini iaitu dengan mengubah cara hidup seharian anda seperti dengan mengurangkan pengambilan garam dalam makanan, melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang bersesuaian seperti bersukan dan bersenam, mengurangkan berat badan jika berlebihan (obesiti) samada melalui senaman ataupun pemakanan yang diambil, berhenti merokok serta jangan meminum minuman keras dan yang paling penting kawal stress anda.
Selain itu, penghidap penyakit Hipertensi digalakkan memakan makanan yang mengandungi banyak mineral, kalium dan juga magnesium di mana ia dapat membantu menurunkan tekanan darah. Untuk pengetahuan semua, ramai di antara penghidap Hipertensi yang enggan mengambil ubat untuk merendahkan bacaan tekanan darah kerana mereka beranggapan ubat tersebut akan menimbulkan kebergantungan dan apabila tidak diambil, ia akan mengakibatkan kesan-kesan atau komplikasi lain.
Pengambilan buah-buahan dan banyakkan memakan sayur-sayuran hijau seperti dapat mencegah penyakit Hipertensi ini. Hal ini kerana ia mengandungi banyak khasiat seperti sumber vitamin, mineral, serat dan zat-zat berkhasiat lain yang sangat diperlukan untuk pertumbuhan dan kesihatan tubuh badan manusia. Selain untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan kita, buah-buahan dan sayur-sayuran juga banyak dimanfaatkan untuk terapi pengubatan untuk penyakit-penyakit lain seperti penyakit Diabetes Mellitus yang sering menyerang masyarakat.
Di samping itu juga, kandungan mineral, vitamin, karotenoid dan komponen lain yang terdapat pada buah-buahan serta sayur-sayuran hijau yang berkhasiat bertindak sebagai antioksidan untuk mencegah penyakit kanser, mengatasi gangguan pencernaan, menurunkan kolesterol yang tinggi serta merendahkan bacaan tekanan darah. Antara buah-buahan dan sayur-sayuran hijau berkhasiat yang dapat menurunkan tekanan darah tinggi termasuklah seledri, timun, labu siam, selada air, lobak, tomato, belimbing buluh, belimbing manis, nangka, wortel, pisang, epal dan kiwi.
Seterusnya, jika anda disahkan menghidap penyakit Hipertensi, segeralah mendapatkan rawatan serta-merta dan mereka juga perlulah kerap berjumpa dengan doktor samada di hospital mahupun di klinik-klinik Hipertensi berdekatan dengan tempat anda untuk mengawal penyakit tersebut. Lakukan pemeriksaan tekanan darah secara berkala. Jika umur anda telah melebihi 40 tahun dan ke atas, anda digalakkan untuk melakukan pemeriksaan tersebut setahun sekali ataupun sekerap mungkin jika penyakit Hipertensi telah dikesan.
Kemudian, antara tabiat-tabiat yang perlu diikuti oleh pesakit Hipertensi ialah ingat untuk mengambil semua ubatan seperti yang telah dinasihatkan oleh doktor anda. Sebelum anda mengambil ubat dan makanan, anda perlu membaca label-label yang terdapat pada botol ubat dan makanan. Sokongan dan dorongan daripada keluarga serta kawan-kawan rapat anda adalah sangat penting dan sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat dan seterusnya dapat mengekalkan tekanan darah yang normal.
PERANAN PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN DALAM KES HIPERTENSI DI KLINIK KESIHATAN/KLINIK HIPERTENSI
Untuk pengetahuan semua, peranan Penolong Pegawai Perubatan sangat penting bukan sahaja dalam memberikan rawatan yang terbaik kepada masyarakat tetapi juga sebagai nadi utama di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara demi memastikan kesihatan rakyat Malaysia berada pada tahap yang optimum sejajar dengan visi dan misi Kementerian Kesihatan Malaysia selain untuk merealisasikan harapan kerajaan dalam mencapai rakyat sihat menjelang wawasan 2020.
Selain itu juga, tanggungjawab Penolong Pegawai Perubatan bukan sahaja tertumpu di klinik kesihatan sahaja malahan juga turut ditugaskan di Jabatan Kecemasan, Jabatan Pesakit Luar dan juga di Unit NCD (Non Contagious Disease) yang meliputi Klinik Hipertensi, Klinik Diabetes, Klinik Kardiologi, Klinik Ortopedik dan sebagainya.
Peranan utama seorang Penolong Pegawai Perubatan di klinik Hipertensi khususnya adalah sebagai peneraju atau nadi utama di klinik tersebut di mana Penolong Pegawai Perubatan terbabit akan memastikan semua proses rawatan bagi setiap pesakit yang datang ke klinik bermula dengan proses pendaftaran, kes saringan pertama, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal, perskripsi ubat-ubatan serta rujuk kes Hipertensi yang teruk ke hospital berjalan dengan lancar dan tersusun. Sebagai contohnya, di Klinik Kesihatan Seremban, jika individu disyaki menghidap penyakit Hipertensi yang teruk, tugas Penolong Pegawai Perubatan adalah dengan merujuk pesakit berkenaan ke hospital yang berdekatan iaitu Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut.
Peranan kedua sebagai seorang Penolong Pegawai Perubatan ialah sebagai individu utama di klinik dalam menjalankan `Primary Screening` di mana setiap pesakit yang datang dengan aduan utama akan menjalani saringan awal terlebih dahulu mengikut keperluan oleh Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas. Bagi kes Hipertensi, sebelum rawatan lanjut dijalankan ke atas pesakit Hipertensi, Penolong Pegawai Perubatan akan mengadakan saringan awal untuk memastikan pesakit tersebut benar-benar menghidap Hipertensi.
Selain itu juga, Penolong Pegawai Perubatan bertanggungjawab dalam mengumpul data-data dan statistik kesihatan bagi kes Hipertensi khususnya bagi setiap bulan sepanjang tahun untuk memastikan kes relapse Hipertensi yang berlaku di kalangan pesakit Hipertensi berkurangan. Sebagai contohnya, sewaktu kami menjalankan ‘field Study’ di Poliklinik Komuniti Lepar Utara 4, Penolong Pegawai Perubatan U29 iaitu Encik Irwansyah Bin Abdul Wahab sedang sibuk menganalisa data-data kes Hipertensi di kawasan Lepar Utara.
Bukan itu sahaja, peranan Penolong Pegawai Perubatan adalah tidak terhad di klinik semata-,mata tetapi juga bertindak sebagai individu yang akan menjalankan `Home Visit` di kawasan lingkungan perkhidmatan klinik tersebut di mana melibatkan pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan dari segi fizikal untuk mendapatkan rawatan Hipertensi di klinik yang berhampiran. Kebiasaannya, kes-kes seperti ini adalah melalui makluman orang ramai tentang pesakit-pesakit yang tinggal sebatang kara dan tidak berkemampuan terutamanya warga emas. Di Poliklinik Komuniti Lepar Utara, program ‘Home Visit’ jarang dijalankan kerana tiada kes pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan dari segi fizikal mahupun sokongan orang terdekat.
Pemeriksaan fundus menggunakan kamera juga turut dijalankan oleh Penolong Pegawai Perubatan. Pada kebiasaannya, prosedur ini dijalankan di klinik-klinik yang mempunyai Klinik Khas Hipertensi yang mempunyai kemudahan yang lengkap. Sebagai contohnya, di Klinik Kesihatan Seremban, prosedur ini akan dijalankan apabila terdapatnya permintaan oleh doktor untuk pesakit Hipertensi khususnya dan keputusan ujian ini akan membuktikan tahap Hipertensi yang dihidapi oleh seseorang pesakit itu.
KESIMPULAN
Secara tuntasnya, Hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan penyakit ``silent killer`` yang sangat berbahaya dan boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Masyarakat Malaysia tidak menyedari bahawa tanda-tanda dan gejala penyakit ini amat sukar untuk dilihat tetapi kesannya dapat dirasai. Kadang-kadang, pesakit akan mengalami pening kepala, kerap kencing, sukar untuk bernafas, pening atau sakit kepala serta rasa kebas di kawasan dan jantung sering berdebar-debar pembengkakkan pada pergelangan kaki atau jari, muka merah dan panas, kemurungan, tercungap-cungap, bunyi berdengung, pandangan menjadi kabur serta pendarahan di hidung yang berulang. Secara ringkasnya, setiap Penolong Pegawai Perubatan haruslah memainkan peranan mereka dengan penuh dedikasi bagi merealisasikan harapan kerajaan untuk mencapai rakyat sihat menjelang 2020.
SUMBER RUJUKAN
1) Buku Garis Panduan HIPERTENSI (Koleksi Simpanan En. Muhamad Afzan Bin Razali @ Abdul Aziz)
2) Dokumen Kerajaan yang didapati daripada Penolong Pegawai Perubatan
a. Poliklinik Komuniti Lepar Utara 4, Bandar Jengka, Pahang.
b. Klinik Kesihatan Bukit Goh, Kuantan, Pahang.
c. Klinik Kesihatan Rasah, Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.
3) Hypertension Clinic Book
a. Sabah
b. Kuala Lumpur
c. Pulau Pinang
d. Selangor
4) Internet
a. http://www.moh.gov.my/hipertension
b. http://www.google.com/hipertensionphotos
c. http:// jknns.moh.gov.my/ncdunit
No comments:
Post a Comment